Tuesday 18 June 2013

Jerebu di Selatan.

Gambar Hiasan

SENAI – Orang ramai yang berada di luar bangunan terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan supaya menggunakan penutup hidung bagi mengelakkan risiko jerebu.
Mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru kronik turut dinasihatkan segera berjumpa doktor sekiranya penyakit dialami bertambah buruk.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerusi kenyataan medianya, memberitahu jerebu yang berterusan boleh menyebabkan kesan buruk kepada orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan orang tua.
Antara tanda dan kesan jerebu termasuklah terasa gatal pada bahagian kerongkong dan batuk, sukar bernafas, mata pedih dan berair, kerap bersin, sakit dada dan menyebabkan kegatalan pada kulit.
Orang ramai yang mengalami tanda-tanda di atas dinasihatkan mendapatkan rawatan segera dan dapat nasihat dari doktor berhampiran.
Bagi mengelakkan risiko jerebu, orang ramai turut disarankan supaya sentiasa meminum air dalam kuantiti yang banyak dan membasuh muka serta bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu.
Jabatan Kesihatan turut menyarankan golongan berisiko mengambil cuti di luar kawasan sekiranya keadaan jerebu di kawasan mereka masih berterusan selain menasihatkan perokok tidak merokok jika keadaan udara mencatat bacaan IPU tidak sihat melebihi 100.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta laporan secara berkala diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar supaya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dapat diketahui di setiap kawasan di negeri ini.
Menurutnya, buat masa sekarang, kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan menyatakan Johor terdapat kawasan bacaan IPU berada pada tahap tinggi dan boleh memudaratkan rakyat.
“Saya berharap supaya rakyat ambil maklum mengenai nasihat dan maklumat yang saya percayai akan dikeluarkan oleh jabatan-jabatan berkaitan.
“Kita belum terima laporan sedemikian...bagaimanapun saya harap rakyat menjaga dan menentukan diri masing-masing dengan mengurangkan aktiviti luar,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar, semalam.

No comments:

Post a Comment