Tuesday 18 June 2013

Jerebu di Selatan.

Gambar Hiasan

SENAI – Orang ramai yang berada di luar bangunan terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan supaya menggunakan penutup hidung bagi mengelakkan risiko jerebu.
Mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru kronik turut dinasihatkan segera berjumpa doktor sekiranya penyakit dialami bertambah buruk.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerusi kenyataan medianya, memberitahu jerebu yang berterusan boleh menyebabkan kesan buruk kepada orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan orang tua.
Antara tanda dan kesan jerebu termasuklah terasa gatal pada bahagian kerongkong dan batuk, sukar bernafas, mata pedih dan berair, kerap bersin, sakit dada dan menyebabkan kegatalan pada kulit.
Orang ramai yang mengalami tanda-tanda di atas dinasihatkan mendapatkan rawatan segera dan dapat nasihat dari doktor berhampiran.
Bagi mengelakkan risiko jerebu, orang ramai turut disarankan supaya sentiasa meminum air dalam kuantiti yang banyak dan membasuh muka serta bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu.
Jabatan Kesihatan turut menyarankan golongan berisiko mengambil cuti di luar kawasan sekiranya keadaan jerebu di kawasan mereka masih berterusan selain menasihatkan perokok tidak merokok jika keadaan udara mencatat bacaan IPU tidak sihat melebihi 100.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta laporan secara berkala diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar supaya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dapat diketahui di setiap kawasan di negeri ini.
Menurutnya, buat masa sekarang, kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan menyatakan Johor terdapat kawasan bacaan IPU berada pada tahap tinggi dan boleh memudaratkan rakyat.
“Saya berharap supaya rakyat ambil maklum mengenai nasihat dan maklumat yang saya percayai akan dikeluarkan oleh jabatan-jabatan berkaitan.
“Kita belum terima laporan sedemikian...bagaimanapun saya harap rakyat menjaga dan menentukan diri masing-masing dengan mengurangkan aktiviti luar,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar, semalam.

Saturday 15 June 2013

UTM, MIT meterai MoU selidik bandar lestari.

Pemangku Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Mohd. Azraai Kassim

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technology (MIT) dari Amerika Syarikat akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi membuat penyelidikan bersama tentang bandar lestari.

Pemangku Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Mohd. Azraai Kassim berkata, MoU tersebut akan ditandatangani sempena Persidangan Antarabangsa Ke-6, Konsortium Pembelajaran Antarabangsa (LINC) 2013 MIT di Cambridge, Massachusetts, Isnin depan.

Katanya, MoU tersebut akan ditandatangani oleh beliau bersama Naib Presiden MIT, Israel Ruiz dan disaksikan Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

''Kajian menerusi penyelidikan bersama ini kelak akan membantu menambah baik dan mengatasi masalah, antaranya berkaitan kepesatan penduduk di kawasan bandar di negara ini dan bandar-bandar utama di Asia Selatan.

''Objektif utamanya adalah untuk melahirkan sistem perbandaran dan kependudukan yang unik, selesa, selamat dan lestari di kawasan bandar dan antara lokasi kajian adalah di Iskandar Malaysia, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Canselori UTM di sini hari ini.

Mohd. Azraai berkata, kajian bermula tahun ini sehingga 2018 itu yang disenaraikan sebagai projek berimpak tinggi akan menerima dana penyelidikan universiti berkenaan dengan kos permulaan sebanyak RM800,000.

Katanya, kajian tersebut akan diketuai oleh Prof. Dr. Hamdan Ahmad dari UTM dan Prof. Larry Suskind (MIT).

''Antara program yang telah dirancang sempena penyelidikan bersama ini termasuklah pertukaran kepakaran antara penyelidik dari UTM dan MIT, selain penempatan pelajar UTM di MIT.

''Hasil kajian ini kelak akan menjadi bahan pembelajaran dan penyelidikan dalam mewujudkan bandar lestari, sekali gus diharap dapat memberikan manfaat kepada kepentingan sejagat," katanya.

Wednesday 12 June 2013

Tunku Aminah rasmikan perpustakaan tertinggi di Asia.


Puteri Sultan Johor, Tunku Aminah Sultan Ibrahim hari ini berkenan merasmikan Perpustakaan Tunku Tun Aminah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini yang merupakan perpustakaan tertinggi di Asia.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin dan Ketua Pustakawan Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Bharun Narosid Mat Zin.

Dalam gimik perasmiannya, Tunku Aminah turut diberi penerangan tentang latar belakang perpustakaan setinggi lima tingkat yang siap dibina pada 2010 di atas tapak seluas 16,000 kaki persegi.

Selepas gimik perasmian, Tunku Aminah kemudian dibawa melawat ruang perpustakaan yang kini menempatkan lebih 300,000 buah buku kepada mahasiswa selain dilengkapi dengan mesin penyerahan bahan dan ruang pembelajaran maya.

Sementara itu, Bharun Narosid memberitahu, Perpustakaan Tunku Tun Aminah yang merupakan perpustakaan tercanggih di negeri ini bukan sahaja membuka keahliannya kepada mahasiswa UTHM, malah turut menerima keahlian daripada komuniti luar.

"Perpustakaan Tunku Tun Aminah berbeza daripada perpustakaan lain kerana di sini, UTHM mengenakan konsep perpustakaan keluarga yang membenarkan kemasukan kanak-kanak."Berikutan itu, UTHM menyediakan perpustakaan kanak-kanak yang membolehkan ibu bapa meninggalkan anak mereka sementara mendapatkan bahan bacaan yang dikehendaki," katanya.

Beliau berkata, selain ratusan ribu buku, terdapat 40,000 jurnal disediakan di perpustakaan tersebut untuk komuniti dari dalam dan luar UTHM.


Tuesday 11 June 2013

Johor kaji semula lesen hiburan!

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin - Menteri Besar Johor

Kerajaan negeri Johor akan mengkaji semula pengeluaran lesen perniagaan bagi pusat hiburan keluarga dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan gejala sosial di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian tersebut akan dilakukan pihaknya memandangkan banyak pusat hiburan keluarga telah disalah guna bagi kegiatan perjudian dan maksiat.

"Sehingga kini terdapat sebanyak 155 pusat hiburan keluarga berdaftar di negeri ini dan kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen sama pada masa hadapan sekiranya masalah berkenaan berterusan.

"Kita tidak mahu kegiatan tidak bermoral yang berselindung di sebalik nama pusat hiburan keluarga ini merosakkan masyarakat khususnya rakyat di negeri ini, justeru perkara ini perlu dipandang serius dan diambil tindakan sewajarnya," kata beliau.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan di negeri ini demi menjamin kesejahteraan rakyat dan pelabur.

"Saya diberi taklimat bahawa keadaan Johor adalah aman, selamat dan terkawal selain indeks jenayah menunjukkan penurunan selama lima tahun berturut-turut.

"Masyarakat juga harus memainkan peranan masing-masing dengan sentiasa memberikan kerjasama kepada polis memandangkan penglibatan seperti dalam Rakan Cop merupakan cara terbaik menangani jenayah," katanya.

Friday 7 June 2013

Jambatan Kedua Pulau Pinang Runtuh.


GEORGETOWN - Pasukan mencari dan menyelamat dijangka dapat mengeluar mangsa di dalam sebuah kereta yang terperangkap dalam kejadian runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung selewat-lewatnya petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pasukan itu sedang menunggu jentera pemotong untuk memotong besi penyambung yang runtuh itu bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.

Katanya runtuhan tanjakan konkrit dan besi itu terpaksa dipotong lebih kecil bagi memudahkan kerja mengalihkannya dibuat.

"Seramai 350 anggota dan pengawai yang terdiri daripada polis, bomba,Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan besi seberat beratus-ratus tan itu.

"Jurutera yang bertugas memaklumkan mangsa yang terperangkap mungkin boleh dikeluarkan tengah hari ini atau selewat-lewatnya petang ini selepas bantuan jentera pemotong tiba," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata setakat ini sekurang-kurangnya seorang mangsa di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kelisa warna hijau terperangkap di dalam runtuhan berkenaan.

Beliau berkata menerusi kamera khas yang digunakan bomba mendapati terdapat seorang mangsa di bawah timbunan berkenaan, bagaimanapun identiti dan jantina mangsa belum dapat dikenal pasti kerana hanya beberapa bahagian badannya sahaja yang kelihatan.

"Mangsa juga tidak memberi sebarang respons dan bila dipanggil mangsa tidak menyahut. Saya percaya beliau berada dalam keadaan kritikal berdasarkan fizikalnya," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga sejak semalam supaya membuat laporan polis kerana maklumat yang diperoleh setakat ini berbeza-beza.

"Ada yang kata beberapa buah kereta dan motosikal terperangkap di dalam runtuhan itu, jadi saya minta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya membuat laporan polis.

"Setakat ini kita cuma nampak sebuah kereta dan kita juga gagal untuk kenal pasti nombor pendaftaran kenderaan berkenaan berikutan ia telah pecah. Kita hanya nampak nombor (pendaftaran) 437 sahaja," katanya.

Abdul Rahim berkata operasi mencari dan menyelamat sejak 12 jam lepas itu  berdepan beberapa kesukaran berikutan perlu menggunakan beberapa jentera termasuk kren seberat 300 tan.

"Pelbagai usaha sedang dijalankan oleh semua pihak dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada syarikat kontraktor termasuk beberapa syarikat lain bagi membantu melancarkan kerja operasi ini," katanya. - BERNAMA