Tuesday 30 December 2014


PUTRAJAYA 29 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu ekoran banjir yang melanda khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, sejajar dengan penangguhan itu, tarikh baharu bermulanya sesi persekolahan untuk tahun hadapan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad) manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).


“Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya sesi persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan.


“Mengikut jadual tarikh bermulanya persekolahan ialah pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 untuk negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Muhyiddin berkata, keputusan penangguhan itu mengambil kira dua perkara utama iaitu sekolah-sekolah yang terlibat sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau ditenggelami air dan mengambil masa untuk dipulihkan.


Turut diambil kira katanya, keadaan guru-guru, ibu bapa serta murid-murid yang serba kekura¬ng¬an akibat menjadi mangsa banjir. Mereka memerlukan masa untuk pemulihan serta membuat persiapan persekolahan masing-masing.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta pihak pengurusan sekolah mengadakan gotong-royong bagi tujuan pembersihan kawasan sekolah sekiranya kea¬daan banjir pulih.


“Langkah ini bertujuan memastikan murid-murid dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna,” ujar Muhyiddin.


Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan sehingga semalam, sebanyak 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir sama ada dijadikan sebagai PPS atau sekolah berkenaan ditenggelami air akibat bencana tersebut.


Tuesday 17 September 2013

Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.


Beliau meninggal dunia sebulan sebelum tarikh ulang tahun ke-89 kelahirannya. Chin Peng dilahirkan pada 21 Oktober 1924.

Bekas gerila komunis ini hidup dalam buangan selama beberapa dekad selepas cubaannya untuk menubuhkan negara komunis di Tanah Melayu, kemudian Malaysia, gagal.

Walaupun beberapa kali mencuba untuk kembali ke Malaysia, beliau tidak dibenarkan berbuat demikian kerana tindakannya mengetuai pemberontakan berdarah  di negara ini masih jelas dalam ingatan sesetengah rakyat Malaysia. - Bernama

Monday 2 September 2013

Wajib Tonton "Tanda Putera"


HAMPIR setahun diperam gara-gara menjadi mangsa politik akhirnya Tanda Putera dapat juga ditayangkan. Itu pun masih lagi ada beberapa isu tidak puas hati terhadap filem itu kerana beberapa adegan yang dirasakan sengaja mahu memprovokasi rakyat.

Bagi yang masih belum menyaksikan filem ini, tolak ke tepi semua kata-kata orang, buka minda, tonton serta nilai sendiri Tanda Putera yang mengisahkan bagaimana dua pemimpin negara, Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein (lakonan Rusdi Ramli) dan Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman (Zizan Nin) mengharungi cabaran getir rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Filem ini meraikan keberanian, dedikasi dan patriotisme kedua-dua pemimpin ini yang berjaya membawa kestabilan dan keharmonian negara walaupun terpaksa bertarung dengan masalah kesihatan yang kritikal.

Untuk menonton filem ini, fokus penonton amat penting kerana ia mampu memberi tafsiran buruk jika ia disalah faham terutamanya pada babak kejadian 13 Mei.

Namun selepas menonton filem itu, jelas dilihat yang menjadi ‘antagonis’ dalam filem ini ialah pihak komunis dan kumpulan radikal Melayu.

Dalam erti kata lain, tiada isu perkauman pun sebenarnya kerana ada juga babak kaum Cina, Melayu dan India yang menunjukkan kecintaan mereka kepada negara.

Keadaan negara yang sedang berhadapan dengan sengketa komunis sehingga membawa kepada rusuhan perkauman, masalah kemiskinan orang Melayu menunjukkan skil kedua-dua pemimpin ini bekerjasama mengukuhkan kembali Malaysia.

Hal itu juga membuatkan Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia tentang penyakit leukemia yang dihidapinya kerana tidak mahu keluarga tertekan dan bimbangkan keselamatan negara.

Apabila mengetahui penyakitnya akan membawa maut dalam masa dua tahun, Tun Razak bersyukur yang rakan baiknya Tun Dr Ismail, akan meneruskan rancangan mereka bagi pembangunan negara. Beliau juga yakin Ismail akan mengotakan janji untuk menjaga keluarganya nanti.

Bagaimanapun Tun Razak mendapat kejutan besar yang hampir memudaratkan lagi kesihatannya apabila Tun Dr Ismail meninggal dunia. Beliau mula mengejar masa untuk melaksanakan berbagai-bagai perancangan bagi menjamin kestabilan negara.

Tun Razak terpaksa menghadapi berbagai ancaman daripada pihak komunis yang menyasarkan pembunuhan pemimpin tinggi polis. Bermula dengan pembunuhan Ketua Polis Negara diikuti pembunuhan Ketua Polis Perak, keadaan makin meruncing.

Lantas Tun Razak mengambil langkah berani – membina hubungan diplomatik dengan Republik China bagi melemahkan pengaruh komunis tempatan walau dia dikecam kuasa barat dan negara sekutu.

Dalam pada itu, ada juga beberapa babak yang menampilkan Tun Mahathir (lakonan Nazril Idrus) mencuit hati penonton kerana begitu berani mengkritik cara pentadbiran perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman sehingga menyebabkan beliau dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi Umno.

Ada juga babak kecil lain yang menarik ketika Tun Hussein Onn (Hasnul Rahmat) mendapat tahu kematian Tun Razak. Ucapannya sambil menangis yang dirakamkan secara langsung pada ketika itu berjaya membuatkan penonton sayu dan merasai situasi ketika kejadian sebenar.

Ada juga babak sekumpulan anak muda lakonan Kavitha Sidhu, Ika Nabila, Zoey Rahman dan Alan Yun, dimasukkan agar boleh menarik perhatian penonton muda.

Secara keseluruhannya, kejayaan filem ini juga kerana memiliki kekuatan barisan pelakon yang cukup hebat apabila Rusdi berjaya melakonkan watak Tun Razak dengan baik.

Malah gerak geri dan lenggok tubuh badan serta percakapan menampakkan Rusdi itu adalah Tun Razak yang sebenar.

Lakonan Zizan Nin sebagai Tun Dr. Ismail juga berjaya memberikan senyuman pada penonton yang cukup menjiwai wataknya sebagai tulang belakang Tun Razak.

Begitu juga dengan dua isteri pemimpin tersebut, Tun Rahah (Faezah Elai) dan Toh Puan Norasyikin (Linda Hashim), kedua-dua pelakon itu memberikan sisi lakonan yang sangat berbeza dalam Tanda Putera. Langsung tiada jiwa karakter filem lain yang dibawa masuk dalam filem ini.

Sebagai konklusinya, filem ini wajib ditonton kerana ia mampu menjatuhkan air mata ramai pihak tidak kira kaum sekiranya menghayati betul-betul mesej yang ingin disampaikan.

Friday 23 August 2013

Kalimah Allah: Mahkamah menolak rayuan Gereja Roman Katolik


Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

PUTRAJAYA 22 Ogos - Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan untuk menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk membatalkan rayuan majlis agama Islam dan pihak lain berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald

Keputusan berkenaan diputuskan oleh tiga panel hakim yang diketuai Datuk Wira Abu Samah Nordin mula yang bersidang pada pukul 9.30 pagi dan berhenti rehad pada pukul 12.55 tengah hari kemudian bersambung semula 3.30 petang.

Dengan keputusan itu bermakna 
prosiding rayuan penuh dijangka akan diadakan pada 10 September 2013.

Kronologi pertikaian penggunaan kalimah Allah bermula pada pada 16 Februari 2009 apabila Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan gereja iaitu The Herald serta menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Gereja itu menuntut, antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah, dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan Katolik yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk God bagi seksyen bahasa Malaysia namun kerajaan berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja. 

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan The Herald itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.
Kronologi pertikaian penggunaan kalimah Allah.

Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly. 

Pada Julai 2013 Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur memfailkan permohonan bagi membatalkan permohonan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik The Herald.-UTUSAN ONLINE

Thursday 15 August 2013

Pembangunan Semula Projek Terbengkalai.


JOHOR BAHRU - 6 projek terbengkalai sejak 10 tahun lalu akan dibangunkan semula pemaju baru bagi memulihkan keadaan kawasan itu yang terbiar dan kotor serta mencacatkan pemandangan . Bangunan terlibat – Kemanyan City, Lot 1, Wisma Matex, Brumasi, Pacific Mall dan Menara Landmark.

Bangunan berkenaan akan dibangunkan menjadi bangunan pejabat, hotel, suite perubatan dan bangunan perniagaan.MBJB dan IRDA sebagai pemudahcara bagi pemulihan projek terbengkalai di bandaraya ini.


Wednesday 14 August 2013

Surau di Kota Tinggi mungkin diroboh.



JOHOR BAHRU: Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut mengandaikan surau di pusat peranginan di Sedili Besar, Kota Tinggi yang mencetuskan kontroversi kerana membenarkan penganut agama lain beribadat dalam surau itu akan dirobohkan.

Bagaimanapun keputusan bersabit hal itu hanya akan disahkan selepas siasatan ke atas pengusaha pusat peranginan itu selesai dan dijangka mengambil masa sebulan. Keputusan itu akan dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Noh dalam pada itu memberitahu Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar Maij mengeluarkan pekeliling menentukan kedudukan kiblat kepada semua pengusaha pusat peranginan di negeri ini.

Isu surau di pusat peranginan di Tanjung Sedili Besar di sini mencetus kemarahan banyak pihak apabila pemiliknya membenarkan sekumpulan penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan dalam suraunya.

Natijahnya pemilik pusat peranginan itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan direman sehingga Jumaat.

Lelaki yang berusia 45 tahun itu merupakan warga Singapura dengan status permastautin tetap (PR) Malaysia, ditahan pada petang Ahad di Tanjung Sutera Resort, 40 kilometer dari sini.


Polis berkata, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atau mencemarkan tempat ibadat dengan niat untuk menghina mana-mana agama.

Tuesday 18 June 2013

Jerebu di Selatan.

Gambar Hiasan

SENAI – Orang ramai yang berada di luar bangunan terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan supaya menggunakan penutup hidung bagi mengelakkan risiko jerebu.
Mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru kronik turut dinasihatkan segera berjumpa doktor sekiranya penyakit dialami bertambah buruk.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerusi kenyataan medianya, memberitahu jerebu yang berterusan boleh menyebabkan kesan buruk kepada orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan orang tua.
Antara tanda dan kesan jerebu termasuklah terasa gatal pada bahagian kerongkong dan batuk, sukar bernafas, mata pedih dan berair, kerap bersin, sakit dada dan menyebabkan kegatalan pada kulit.
Orang ramai yang mengalami tanda-tanda di atas dinasihatkan mendapatkan rawatan segera dan dapat nasihat dari doktor berhampiran.
Bagi mengelakkan risiko jerebu, orang ramai turut disarankan supaya sentiasa meminum air dalam kuantiti yang banyak dan membasuh muka serta bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu.
Jabatan Kesihatan turut menyarankan golongan berisiko mengambil cuti di luar kawasan sekiranya keadaan jerebu di kawasan mereka masih berterusan selain menasihatkan perokok tidak merokok jika keadaan udara mencatat bacaan IPU tidak sihat melebihi 100.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta laporan secara berkala diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar supaya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dapat diketahui di setiap kawasan di negeri ini.
Menurutnya, buat masa sekarang, kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan menyatakan Johor terdapat kawasan bacaan IPU berada pada tahap tinggi dan boleh memudaratkan rakyat.
“Saya berharap supaya rakyat ambil maklum mengenai nasihat dan maklumat yang saya percayai akan dikeluarkan oleh jabatan-jabatan berkaitan.
“Kita belum terima laporan sedemikian...bagaimanapun saya harap rakyat menjaga dan menentukan diri masing-masing dengan mengurangkan aktiviti luar,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar, semalam.