Tuesday 11 June 2013

Johor kaji semula lesen hiburan!

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin - Menteri Besar Johor

Kerajaan negeri Johor akan mengkaji semula pengeluaran lesen perniagaan bagi pusat hiburan keluarga dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan gejala sosial di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian tersebut akan dilakukan pihaknya memandangkan banyak pusat hiburan keluarga telah disalah guna bagi kegiatan perjudian dan maksiat.

"Sehingga kini terdapat sebanyak 155 pusat hiburan keluarga berdaftar di negeri ini dan kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen sama pada masa hadapan sekiranya masalah berkenaan berterusan.

"Kita tidak mahu kegiatan tidak bermoral yang berselindung di sebalik nama pusat hiburan keluarga ini merosakkan masyarakat khususnya rakyat di negeri ini, justeru perkara ini perlu dipandang serius dan diambil tindakan sewajarnya," kata beliau.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan di negeri ini demi menjamin kesejahteraan rakyat dan pelabur.

"Saya diberi taklimat bahawa keadaan Johor adalah aman, selamat dan terkawal selain indeks jenayah menunjukkan penurunan selama lima tahun berturut-turut.

"Masyarakat juga harus memainkan peranan masing-masing dengan sentiasa memberikan kerjasama kepada polis memandangkan penglibatan seperti dalam Rakan Cop merupakan cara terbaik menangani jenayah," katanya.

No comments:

Post a Comment